oleh: Abu Usamah Mohd Masri
sumber: iLuvIslam, Facebook
Sabda Nabi SAW: “Hari terbaik yang memancarkan sinar mataharinya ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam AS, padanya dimasukkan dia ke dalam syurga dan padanya dikeluarkan dia darinya. Dan tidak akan berlaku hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.” (Sahih Muslim: 854 )
Sunnah-sunnah di hari Jumaat
1)-Mandi dan berwangi-wangian (lelaki sahaja). Rasulullah SAW berkata: “Mandi pada hari Jumaat itu wajib bagi setiap orang yang sudah baligh. Hendaklah dia menggosok gigi dan memakai wangian jika mempunyainya.” (Sahih, al-Bukhari:880, Muslim:846)
2)-Membanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW. Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah selawat keatas ku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku.” (Sahih, Abu Daud:1047, disahihkan oleh al-Arnaouth)
3)-Membanyakkan berdoa terutama diakhir waktu asar. “Pada hari Jumaat terdapat dua belas jam, pada waktu itu tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia akan mengabulkannya. Oleh itu, carilah ia diakhir waktu setelas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)
4)-Membaca surah al-Kahfi. Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)
5)-Berjalan kaki dan bersegera ke masjid. Kata Nabi SAW: “Sesiapa yang memandikan atau mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera dengan berjalan kaki, tidak menaiki kenderaan, dan mendatangi imam lalu mendengar (khutbah) dan tidak bermain-main, maka adalah baginya setiap langkah (bersamaan) amalan puasa dan solat selama setahun.” (Sahih:Sunan Abi Daud: 345, al-Albani mensahihkannya)